Thursday, February 5, 2009

CINTA KERANA ALLAH

Niat adalah permulaan pada setiap perbuatan. Niat juga adalah perkara pokok dalam setiap tindakan. Niat menentukan segalanya. Niat juga mempengaruhi tingkahlaku kita. Rasulullah telah berkata bahawa setiap amal perbuatan adalah disertai dengan niat.

Ini bermakna, tiada perbuatan atau tindakan yang tiada berniat. Secara jelas atau tersembunyi , kita sebenarnya sudah memasang niat untuk melakukan sesuatu. Dalam solat, niat dinyatakan di dalam hati dan secara lisan sebelum takbir diangkat. Tanpa niat, solat tidak sah. Dalam berpuasa, niat menentukan sah atau tidak puasa kita dan apa jenis puasa kita. Satu perkara yang perlu dinyatakan, niat juga menentukan ganjaran yang bakal diterima berdasarkan penilaian Allah Taala terhadap amalan kita.

Jelas Allah menekankan ‘awareness’ atau kesedaran dalam setiap apa yang kita lakukan. Di situ fungsinya akal, berfikir sebelum bertindak. Secara sedar membuat dan merancang tindakan membezakan kita dengan haiwan.

Namun begitu, masalahnya pada kita ialah kita seringkali tidak sedar akan niat disebalik perbuatan kita. Jika kita membuat sesuatu, kita jarang menyatakannya secara sedar. Jika nak jadi jadilah.. Jika nak buat..buatlah.

Dalam urusan percintaan kita dengan pasangan suami atau isteri , pernyataan cinta amat penting. Namun pernyataan dan kesedaran mengapa dan kerana apa kita mencintai pasangan juga lebih penting. Mencintai seseorang selain dari Allah Taala mempunyai risiko yang besar. Cinta mendorong kita untuk melakukan apa yang terbaik untuk orang yang kita cintai. Niat cinta kita akan menentukan sama ada kita merasa berbaloi atau tidak melaburkan segala kebaikan itu tadi. Jika kita mencintai pasangan kerana kebaikan yang diberi, bermakna perasaan kita pada pasangan mungkin tergugat bila kebaikan yang diberi sudah terhenti. Jika cinta kita pada pasangan kerana kecantikan yang menawan hati, cinta kita mungkin akan susut bila kecantikan tersebut mula pudar. Lebih memedihkan bila orang yang kita cintai beralih arah dan mula melaburkan cintanya pada yang lain. Bermakna cinta dan kebaikan yang kita laburkan tidak berbalas dan tidak berbaloi. Akibatnya hati kita merasa kecewa, hampa, sedih, terluka dan merana.

Mestikah cinta yang kita laburkan dibalas dengan kebaikan yang sama?. Hakikatnya, ya. Kita akan merana jika hati tidak merasa dicintai. Tetapi berbaloikah melabur cinta kepada manusia kerana sesuatu yang berubah-ubah dan tidak kekal?.

Cinta pada yang lebih kekal mampu memberikan jaminan ketenangan jiwa. Cinta pada manusia dibolehkan tetapi biarlah ikhlas kerana Allah. Pernyataan sedemikian lebih menenangkan jiwa . Niat sedemikian lebih menjamin keamanan perasaan. Niat cinta kerana Allah membuahkan perasaan yang lebih jujur, ikhlas, suci dan menenangkan. Cinta kerana Allah lebih berwawasan tinggi, lebih jauh hingga ke akhirat. Mereka yang mencintai seseorang kerana Allah lebih mudah bangkit bila dikecewakan. Mereka yang cinta kerana Allah lebih mulia sikap dan perlakuannya terhadap pasangan. Seorang isteri yang mengabdikan kehidupannya berkhidmat untuk suami tersayang kerana Allah Taala masih merasa kehidupannya dan khidmatnya masih berbaloi sekalipun suami tidak menghargai jasanya. Seorang suami yang menjaga dan melindungi isterinya kerana Allah tidak mudah untuk menganiaya isteri sekiranya berlaku konflik antara mereka.

Sebagai perbandingan, seseorang suami yang mencintai isterinya semata-mata kerana kebaikan sikap, kelembutan tingkahlaku serta keayuan wajah isterinya sebenarnya meletakkan cintanya kepada sesuatu yang cukup rapuh. Manakan kebaikan itu kekal setiap masa dan ketika, adakalanya sebagai insan biasa yang punyai kelemahan cenderung untuk berubah -ubah mengikut keadaan. Demikian juga dengan kecantikan wajah. Apakah maknanya jika isteri itu sudah tidak cantik kasih sayang dan cinta yang sama akan terus kekal atau surut bersama-sama dengan kecantikan tersebut?. Kebiasaannya cinta itu akan mudah berpaling arah, mencari kecantikan yang dicintainya, kerana jika kecantikan yang dicintainya, cinta tersebut boleh berpindah dari yang semakin kurang cantik kepada yang masih cantik. Di sinilah masalah bermula. Kecurangan, bermula dari pudarnya rasa kasih dan sayang. Kecurangan sering menimbulkan kekecewaan perasaan oleh sang isteri. Hiba, sedih, tertekan dan sebagainya. Kecurangan juga menimbulkan perbuatan seperti penderaan, penganiayaan perasaan, penipuan, penindasan dan sebagainya.

Sementara itu, di pihak isteri pula jika cintanya tidak berpaksikan cinta kerana Allah, bermakna akan tertekanlah isteri tersebut. Akan hancurlah cinta yang dilaburkan selama ini. Cintanya terasa disia-siakan oleh si suami. Hidup akan tidak bermakna lagi. Maka mudahlah rasa putus asa timbul di jiwa. Kekecewaan yang menyelubungi diri melemahkan perasaan hingga segala apa di sekeliling tidak diperdulikan lagi. Bahkan anak-anak juga turut diabaikan. Hingga ke satu tahap mudah saja tindakan untuk meragut nyawa sendiri. Begitulah rantaian cinta yang berpaksikan manusia. Cinta yang berpaut pada sesuatu yang mudah berubah dan lemah .

Seharusnya cinta yang dianggap suci dan murni serta mahal nilainya diletakkan pada sesuatu yang kukuh dan juga tinggi nilainya. Seharusnya kita mencintai suami atau isteri biarlah kerana Allah. Cinta sejati kita letakkan kepada Allah sahaja, tiada yang lebih daripada itu. Bila cinta kita kerana Allah, sekalipun perasaan kita atau pasangan berkurangan terhadap kita, kekuatan jiwa masih bersisa untuk kita terus kuat mengharungi hidup. Sekurang-kurangnya hidup ini masih lagi ada maknanya sekalipun orang yang kita sayangi sudah meninggalkan kita.

No comments: